Wednesday, September 3, 2008

Ruangan khusus untuk Ustaz ..

SAR persendirian akan diberi tanah

Oleh ZAINI RABAN

IPOH 3 Sept. – Setelah menerima pelbagai kritikan dan desakan banyak pihak, kerajaan negeri hari ini mendedahkan bahawa pihaknya sedang memproses kelulusan tanah kira-kira 1,000 hektar kepada sekolah agama persendirian dan beberapa institusi Islam di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengambil sikap pilih kasih dengan hanya menganugerahkan tanah kepada sembilan buah sekolah persendirian Cina sahaja.

Beliau sebaliknya berkata, permohonan tanah dari sekolah-sekolah agama itu adalah lebih awal berbanding permohonan yang dikemukakan oleh sekolah Cina terbabit.

‘‘Sebanyak 18 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) persendirian dan pelbagai institusi Islam di negeri ini telah membuat permohonan tanah yang secara keseluruhannya membabitkan keluasan lebih 1,000 hektar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Pendokong SAR Negeri Perak (PPSR) supaya kerajaan negeri turut menganugerahkan tanah kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) seperti yang diberikan kepada sekolah persendirian Cina bagi membolehkan SMA itu meneruskan peranannya.

Muhammad Nizar berkata, 18 buah SAR itu terdiri daripada sembilan buah SAR menengah dan sembilan SAR rendah yang telah menubuhkan sebuah koperasi bersama bagi menguruskan tanah berkenaan.

Kata beliau, tanah yang dipohon oleh sekolah terbabit adalah seluas 200 hektar yang akan diusahakan sebagai ladang-ladang supaya mendatangkan hasil.

“Itu baru SAR persendirian, kita turut menerima permohonan tanah daripada pelbagai institusi Islam lain dan jumlahnya jika digabungkan adalah lebih daripada 1,000 hektar,” katanya.

Muhammad Nizar menjelaskan, antara institusi Islam yang memohon tanah kepada kerajaan negeri adalah kira-kira 15 buah sekolah tahfiz al-Quran dan beberapa buah sekolah pondok.

Katanya, kerajaan negeri turut memberi peruntukan awal sebanyak RM1.3 juta kepada 18 buah SAR terbabit kerana keadaan sekolah itu terlalu daif.

Menurutnya, peruntukan berkenaan telah dikeluarkan kira-kira tiga bulan lalu tetapi tidak mendapat liputan media..............

UTUSAN

Menarik